KUALA LUMPUR 6 Dis. – Tarian mampu menjadi perantara yang berkesan dan membina ke arah mencapai aspirasi perpaduan masyarakat di negara ini, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Menurutnya, tarian dapat menyumbang kepada usaha menyatukan masyarakat majmuk di negara ini di bawah satu bendera, satu suara dan laungan 1Malaysia.
Beliau yakin konsep Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia yang diperkenalkan mampu menjadi satu produk pelancongan yang menarik dan dapat dipromosikan ke peringkat antarabangsa.
‘‘Melalui tarian, ia akan memberi pengalaman kepada para pelancong untuk menghayati dan merasai keunikan Malaysia.
‘‘Saya yakin tarian 1Malaysia ini akan dikenali di seluruh dunia kerana ia satu bentuk riadah yang universal, malah boleh diminati dan diamati oleh semua lapisan masyarakat tidak kira usia, kaum, jantina, status dan golongan,’’ katanya.
Beliau berucap melancarkan Pesta Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia di Dataran Merdeka hari ini.
Hadir sama ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan timbalannya, Senator Heng Seai Kie.
Menurut Rosmah, keunggulan dan keutuhan sesuatu bangsa bukan sahaja diukur melalui tahap pembangunan prasarana, kekukuhan ekonomi atau kekuatan ketenteraannya.
Malah, jelas beliau, ia juga diukur melalui kecemerlangan khazanah dan warisan kebudayaan dan kesenian baik dalam bentuk persuratan, bahasa, muzik mahupun tarian.
Dalam hubungan ini, rakyat Malaysia jelas beliau, amat bertuah kerana mempunyai pelbagai budaya sejak dahulu lagi dan ini menjadikan bangsa Malaysia lebih unik, teguh dan menarik.
Justeru, Rosmah menyeru orang ramai supaya mendekatkan diri dengan warisan dan budaya kerana beliau percaya dengan semangat itu akan membangkitkan perasaan dan kasih sayang sesama masyarakat.
‘‘Oleh itu, saya meminta rakyat Malaysia bekerjasama dengan kerajaan bagi memajukan industri pelancongan negara sebagai usaha mempromosikan negara tercinta ini,’’ ujar beliau.
Sementara itu, Yen Yen ketika ditemui pemberita berkata, Kementerian Pelancongan akan menjadikan Tarian Cuti-Cuti 1Malaysia sebagai acara tahunan dan ia dijangka diadakan pada setiap minggu pertama bulan Disember.
Beliau percaya, tarian tersebut mampu memberikan gambaran keharmonian dan keamanan yang dikecapi bersama selain mengembangkan sektor pelancongan negara.
‘‘Kita juga berbesar hati kerana pesta tarian terbesar yang berjaya menarik minat masyarakat tempatan dan luar negara ini berjaya dicatat dalam Malaysia Guiness Book of Records,’’ kata beliau.
Dalam pada itu, Seai Kie berkata, pesta tarian berkenaan menjadi pemangkin dalam usaha menggalakkan dan menyatukan rakyat berdasarkan konsep 1Malaysia.
‘‘Paling utama, ia memupuk integrasi budaya di kalangan rakyat, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian kesenian dan kebudayaan,’’ katanya.
Pesta tarian terbesar yang pertama kali diadakan itu berjaya menarik seramai 12,000 peserta yang terdiri daripada kementerian-kementerian, agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Sebanyak lapan jenis tarian dalam masyarakat Malaysia digabungkan menjadi satu tarian ‘medley’ iaitu Tarian 1Malaysia.
Antara tarian itu adalah Malaysia Truly Asia, Melayu Zapin, Cina, India, Sabah, Sarawak, Sewang dan Cuti-Cuti Malaysia.
Petikan dari : Utusan Online
1 ulasan:
Ek ehhhh.
Spt familiar lah dgn gambo2 itu.
kenapakah gambarku jua ada di dlm geng2 KPKT tu? ceng ceng ceng :P
Whut a small world, we met here? :P
Catat Ulasan